TAAT IBU BAPA DALAM PERKARA MAKSIAT?

11:30 PM Edit This 0 Comments »

TAAT IBU BAPA DALAM PERKARA MAKSIAT?

SOALAN;

a. Adakah wajib anak mentaati kepada ibu atau bapanya yang melakukan dosa besar?
b. Adakah wajib anak menegur ibu bapanya yang melakukan maksiat?
c. Bolehkah memboikot kedua ibu bapa yang melakukan maksiat?

JAWAPAN;

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam kepada Rasulullah SAW. Begitujuga, Para Sahabat, Ahli keluarga Baginda, Tabiin, Tabii at-tarbiin dan seluruh manusia yang beriman kepada Allah.

Adapun selepas daripada itu;

Melakukan kebaikkan dan kebajikan kepada kedua Ibu bapa adalah perkara yang disyariatkan didalam Islam. Melakukan kebaikan dan kebajikan kepada kedua ibu bapa merupakan punca mendapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah;

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًا

Maksudnya;
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapanya”

(Surah Al-Ankabut : 8)

Sabda Nabi SAW;

بروا آباءكم ؛تبركم أبناؤكم

Maksudnya;
“buatlah kebajikan kepada bapa-bapa kamu, nescaya anak-anak kamu melakukan kebaikan kepada kamu[1]

Firman Allah dan Hadis di atas jelas menyatakan tentang kewajipan melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Walaubagaimanapun, melakukan kebaikan bukan bermakna mentaati keduanya secara mutlaq, bahkan disana ada beberapa perkara yang boleh di taati dan perkara haram di taati.

Firman Allah;

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya;
“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik”

(Surah Luqman : 15)

Daripada firman Allah ini difahami bahawa mentaati kepada ibu bapa itu adalah wajib, selama mana dia tidak menyuruh melakukan maksiat dan perkara haram.

APABILA ANAK MELIHAT IBU BAPA MELAKUKAN MAKSIAT

Apabila anak melihat kedua ibu bapanya melakukan maksiat, maka wajib kepada anak tersebut memberi nasihat dan petunjuk kepada ibu bapanya.

Sekiranya nasihat dan tunjuk ajar itu di ingkari oleh kedua-duanya, maka dibenarkan kepada si anak memboikot ibu bapanya mengikut kadar maksiat yang dilakukan oleh keduanya. Ini kerana, ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya diutamakan berbanding ketaatan kepada kedua ibu bapa dan ketaatan kepada kedua ibu bapa itu tertakluk dengan ketaatan Allah dan Rasul-Nya.

BOLEHKAH MEMBOIKOT IBU BAPA?

Memboikot kedua ibu bapa atas maksiat yang dilakukan keduanya adalah harus, tetapi keharusannya mengikut kadar maksiat yang dilakukannya sahaja.

Ini berdalilkan dengan beberapa hadis yang ianya adalah seperti berikut;

a. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat memboikot golongan orang Islam yang tidak pergi berperang dalam peperangan Tabuk di zaman Baginda SAW [2].
b. Rasulullah SAW menghambat isteri-isterinya keluar dari rumahnya untuk beberapa ketika[3].

Daripada hujjah-hujjah ini, menjadi dalil atas keharusan memboikot kedua ibu bapa yang melakukan maksiat, yang telah diberi nasihat kepada keduanya.

Walaubagaimanapun, kebenaran memboikot itu adalah dengan tujuan hendak mengembalikan kedua-duanya dari melakukan maksiat kepada Allah.

Juga, didapati dengan memboikot itu dapat menjadikan kedua-duanya kembali melakukan taat kepada Allah.

Sekiranya dengan memboikot itu menyebabkan ibu bapanya tidak melakukan taat, bahkan semakin melakukan maksiat atau menyebabkan renggangnya hubungan antara anak dan kedua ibu bapa semakin jauh yang kemungkinan susah untuk menjalinkan balik hubungan itu, maka hukum memboikot adalah haram.

Ini didasarkan kepada kaedah fiqh;

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya;
“Melakukan mudharat yang paling ringan daripada dua mudharat[4]

Walaubagaimanapun, wajib kepada anak memikirkan cara yang lebih berhikmat bagi menghentikan ibu bapanya daripada melakukan maksiat, sebelum dia mengambil sikap memboikot keduanya.

Sekian
Wallahu ‘Alam

0 comments: